Susuk – jenis dan kegunaannya

Susuk adalah satu istilah, yang merujuk kepada pemakaian atau penggunaan bahan-bahan tertentu yang digunakan secara batin, yang juga dikenali sebagai “ilmu rahsia diri,” untuk tujuan-tujuan tertentu yang kebanyakannya lebih mengkhusus untuk keperluan diri.

Ada orang yang menggunakan susuk supaya kelihatan cantik dan orang ramai suka memandangnya, untuk memikat seseorang, mengekal kasih seorang suami, supaya disayangi oleh majikan dan teman-teman sekerja.

Selain untuk tujuan di atas, susuk digunakan, dikatakan untuk menghindarkan diri daripada gangguan orang yang dengki, daripada sihir, digunakan untuk pelaris bagi mereka yang terlibat dengan perniagaan, yang dilakukan oleh pengusaha kedai makanan, oleh pelakon-pelakon, penyanyi-penyanyi agar diminati oleh penonton atau orang ramai, malah susuk juga ada digunakan oleh pelacur agar sering dihuni oleh pelanggan.

Ada juga susuk yang digunakan supaya badan menjadi kuat, kebal tidak lut senjata, untuk penggerun, penunduk dan lain-lain tujuan, yang ada kaitan dengan ilmu kebatinan, termasuk susuk yang digunakan untuk menguatkan tenaga batin.

Setiap susuk digunakan menurut kaedah yang digunakan oleh orang-orang tertentu yang terlibat melakukannya, yang menggunakan bahan-bahan tertentu menurut keperluan, yang selalunya disusuli dengan kaedah-kaedah khusus, juga pantang larang yang berlainan yang mesti diikuti, tidak boleh dilanggar sama sekali.

Bahan susuk yang popular dan digunakan oleh kaum wanita ialah susuk daripada bahan emas, berlian atau intan. Susuk jenis ini dimasukkan di bahagian muka disertai dengan cara-cara tertentu termasuk jampi mantera.

Dipercayai dengan berbuat demikian, muka akan menjadi cantik berseri, seperti sifat emas, intan atau berlian, bersinar dan menambat hati orang-orang tertentu, atau setiap orang yang memandangnya.

Susuk jenis ini juga dikenali sebagai “susuk pengasih” di mana caranya ialah dengan memasukkan susuk, iaitu serbuk emas ke muka, atau menusuk emas ke pipi kanan dan kiri. Sebelum diperlakukan sedemikian rupa, air ramuan yang terdiri daripada pelbagai bahan termasuk beberapa kuntum bunga direndam selama sepuluh hari. Bahan ini disimpan dalam molor (bekas kaca). Setelah tiba tempoh air itu dituang sedikit ke dalam piring seramik dan sebutir emas tulen diasah sehingga sebati dengan air tadi.

Sedikit kapas digunakan untuk menggaulkan ramuan dan kemudian ditutup untuk beberapa ketika sehingga air dan bahan tadi terserap dalam kapas. Bedak sejuk bersama ramuan yang terserap pada kapas disapu ke pipi dan seluruh muka sehingga kering. Orang yang berkenaan tidak boleh mandi sehinggalah esok hari.

Ketika ini, ramuan susuk telah menyerap sebati dalam kulit. Pemakai susuk dikehendaki berbedak sedikit sebelum keluar rumah, yang didahului dengan bacaan jampi yang diajar oleh orang yang memasukkan susuk tadi.

Kaedah lain ialah dengan menanam dua butir emas sebesar biji sawi melalui kaedah batin di kedua-dua belah pipi, sebutir di pipi kanan dan sebutir lagi di pipi kiri. Ia dilakukan pada waktu malam ketika bulan mengambang dengan cara-cara tertentu, yang disertai dengan jampi mantera. Perbezaan pada wajah seseorang itu dikatakan boleh berlaku pada keesokan harinya.

Bahan susuk lain ialah jarum emas, yang dimasukkan dalam tubuh dengan kaedah batin juga. Semakin banyak bilangan jarum yang dimasukkan, dipercayai akan lebih berkesan hasilnya. Jarum-jarum ini dimasukkan di bahagian muka, buah dada dan bahagian kemaluan. Kebanyakan pelacur gemar memasukkan susuk di bahagian kemaluan dan buah dada, bertujuan supaya buah dada sentiasa tegang dan sentiasa segar melayani pelanggan, serta dapat memberi kepuasan.

Tidak dapat dipastikan secara khusus bahawa susuk boleh menyebabkan muka seseorang itu pastinya lebih cantik, tidak makan tua, tidak berkedut, digeruni, dikasihi, menjadi kebal tidak mampan senjata atau tenaga batin menjadi kuat, tetapi apa yang jelas amalan susuk, atau yang berkaitan dengannya adalah termasuk dalam kategori amalan yang melibatkan sihir, iaitu melibatkan iblis dan syaitan, ataupun jin-jin.

Amalan susuk adalah rahsia, yang tidak didedahkan kepada umum, untuk difahami rahsia-rahsianya. Tidak dapat diterima oleh akal, bagaimana seseorang yang dimasukkan pada mukanya, serbuk berlian, serbuk emas, jarum emas dan sebagainya, di bahagian kening, bawah dagu dan sebagainya menyebabkan muka seseorang itu dilihat begitu cantik, termimpi-mimpi waktu tidur dan berkhayal ketika hendak lelap.

Semuanya tidak akan berlaku pada pengamatan umum. Tetapi ia boleh berlaku dengan penglibatan iblis dan syaitan, di mana dengan adanya iblis syaitan yang dipanggil menggunakan jampi mantera dan serapah dan sebagainya menyebabkan apa yang dilihat oleh manusia itu boleh berubah.

Mata manusia boleh terpesong atau tersihir, akibat penglibatan iblis dan syaitan itu menyebabkan sesuatu yang buruk, yang normal itu kelihatan cantik, seperti yang berlaku ke atas mereka yang dimasukkan susuk.

Itulah di antara ciri sihir di mana sesuatu yang berlaku itu sebenarnya bukan hakikat, tetapi tipu daya belaka atau “khayali,” yang tidak dapat difikir oleh akal manusia, bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku, yang diistilahkan sebagai “khariqu `l-adah” (mencarik adat atau berlaku di luar adat kebiasaan).

Jelasnya pandangan yang cantik, menawan, menakutkan atau menggerunkan menyebabkan orang yang memandang itu tunduk berlaku kerana adanya penglibatan iblis dan syaitan.

Setiap perbuatan atau tindak-tanduk yang disertai atau disokong yang disertai oleh makhluk ini, ia dikategorikan dalam amalan sihir. Sihir termasuk dalam kategori amalan dosa-dosa besar yang boleh membawa syirik, satu dosa yang tidak diampuni.

Fenomena seperti ini sama seperti yang berlaku di kalangan pemain silap mata, yang mencari nafkah di tepi-tepi jalan atau di tempat pertunjukan eksklusif. Di tepi jalan raya pemain silap mata menusukkan pisau tajam menembusi leher kanak-kanak yang dibawa bersama dengannya, yang dilihat dengan jelas oleh mata zahir.

Tidak lama selepas itu, selepas pertunjukan itu tamat, kanak-kanak tadi kelihatan berlari-lari atau mengemas barangan yang ada padanya tanpa ada bekas luka atau darah di lehernya. Apa yang berlaku bukan hakikat, tetapi mata melihat jelas adanya tusukan pisau di leher.

Berdasarkan keterangan ini saya berkeyakinan bahawa apa yang berlaku ke atas saudari, di mana muka saudari kelihatan begitu cantik, hinggakan kawan sesama perempuan pun begitu terpesona dengan kecantikan tadi.

Perantaraan

Tidak mustahil apa yang berlaku hasil daripada susuk yang dimasukkan dalam diri saudari, di bahagian muka ketika berumur 25 tahun, biarpun saudari tidak memahami apa perlunya diperbuat demikian. Inilah yang berlaku kepada sebahagian daripada mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan yang menggunakan atau melibatkan jin-jin.

Penggunaan bunga-bunga pelbagai warna, bahan-bahan yang terdiri daripada jarum emas, serbuk intan berlian dan sebagainya itu hanya perantaraan semata-mata, dijadikan iktibar atau lambang, tidak lebih daripada itu.

Betapa indahnya bunga, menawan dan disukai ramai, baik lelaki dan perempuan, maka begitulah ibaratnya pandangan manusia kepada orang yang menggunakan bahan tadi. Begitu juga dengan penggunaan bahan-bahan lain, yang terdiri daripada serbuk emas atau jarum emas, tidak lebih daripada itu.

Faktor utama melahirkan keberkesanan atau natijah yang berlaku pada diri saudari ialah penglibatan jin-jin dalam proses memasukkan bahan susuk dalam tubuh tadi, di mana proses tersebut dikategorikan sebagai proses kebatinan.

Bahan tadi digosok-gosokkan pada bahagian tertentu pada tubuh, lalu bahan tadi meresap hilang menyerap dalam tubuh atau muka. Selain daripada itu jampi mantera juga digunakan. Rangkaian kata ini menjadi perantaraan untuk memanggil datang makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin.

Adapun amalan atau bacaan yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir ataupun amalan-amalan lain yang dilakukan oleh orang yang memasukkan susuk atau orang yang dimasukkan susuk hanya merupakan unsur-unsur Islam yang diselit-selitkan di celah-celah amalan kebatinan Melayu, yang sama sekali tidak memperlihatkan atau membuktikan bahawa amalan susuk itu salah satu daripada ajaran Islam.

Walaupun demikian apa yang berlaku iaitu dengan adanya unsur-unsur Islam tadi, ia menjadi satu alasan untuk menyatakan bahawa penggunaan tersebut membuktikan amalan ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam, salah satu daripada usaha yang dilakukan selaras dengan kehendak Islam. Demikianlah kecelaruan yang wujud dalam amalan kebatinan Melayu, apabila unsur-unsur Islam itu diselit-selitkan dalam budaya hidup manusia.

Allah memberi amaran, seperti yang termaktub dalam al-Quran bahawa syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi orang yang beriman. Dalam keadaan apa sekalipun, makhluk ini hendaklah dianggap sebagai musuh, tidak kira sama ada makhluk jin ini boleh menyebabkan seorang itu kelihatan cantik, muka sering berseri, disukai ramai, dipandang manis digeruni, badan menjadi kebal atau tujuan-tujuan lain, untuk kepentingan diri sendiri atau untuk ramai.

Makhluk ini, dalam keadaan apa sekalipun hendaklah dianggap sebagai musuh. Orang yang memasukkan susuk dalam tubuh, dengan cara yang dijelaskan, adalah orang yang mengundang, memasukkan makhluk iblis dan syaitan dalam tubuh. Sayangnya manusia menjadi keliru apabila meneliti amalan zahir yang dimasukkan dalam tubuh ialah serbuk intan berlian atau jarum emas, padahal Allah memberi amaran supaya setiap orang itu menjauhkan diri daripada makhluk ini.

Allah meminta setiap orang itu memohon perlindungan kepada-Nya, memang ada di kalangan manusia yang memohon perlindungan daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu tidak melakukan sesuatu, selain daripada lebih menyesatkan.

Tidak mudah bagi syaitan itu menguasai diri seseorang, tetapi apabila syaitan itu diundang masuk, meresap dalam diri seperti melalui amalan susuk, maka bagi syaitan itu jalan-jalan yang luas lagi mudah lalu akhirnya ia akan menyesatkan, menyakiti jasad manusia itu hasil daripada kesilapan diri manusia itu sendiri, biarpun hanya untuk bersuka-suka mengikut apa yang dilakukan oleh kawan ini.

About these ads

About Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

2 Responses to Susuk – jenis dan kegunaannya

  1. hapsah says:

    nauzubillahminzaliik. sesungguhnya orang2 yg mengharapkan pertolongan daripasda shaitan2, iblis jin dan sebagainya adalah org2 yg bodoh, bagi saya hasbunallahu, sesungguhnya tiada tuhan melainkan allah dan hanya kpdnya lah kami menyembah dan meminta pertolongan. dan sesungguhnya allah maha berkuasa atas setiap sesuatu,

  2. As’kum…
    Memang terdapat pelbagai amalan kecantikan yg ada di muka bumi ni. Salah satu darinya adalah petua kecantikan yg telah daku jumpa di sini:

    Petua kecantikan tradisional

    Di situ tidak menggunakan susuk atau apa jua berkaitan sihir atau keburukan. Ia cara tradisional men’connect’ dengan kesemulajadian alam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s